♥ Lovely friends! ♥

Friday, September 30, 2011

✿*゚Yeni Jasper Crumble

Salam pagi yang damai untuk semua. Crumble yang ringkas untuk digayakan Yeni saya sulamkan pada kurung Johornya. Material chiffon warna biru berbunga merah ungu cukup mempesona namun agak susah bagi saya untuk menyulam manik pada kurung Johor Yeni yang terlalu lembut dan bertenun halus ini. Akhirnya, saya akur dan sulaman crumble yang ringkas sahaja dapat saya hasilkan.  Untuk tak menghampakan, kuntuman camellia saya selitkan agar crumble lebih berseri ✿◕ ‿ ◕✿ 





Thursday, September 29, 2011

✿*゚Fayrouz

Assalamulaikum dan salam pagi yang ceria!!! Ramai yang menghubungi saya dan meminta contoh-contoh sulaman yang ringkas tetapi menarik. Sebenarnya banyak juga tempahan untuk sulaman yang ringkas sebegini namun saya sering saja tak berkesempatan untuk merakam gambar rekaan yang ringkas. Kebanyakkan pelanggan yang mahukan rekaan seperti ini mahukan sulaman cepat siap dan segera pula mengambilnya dari saya usai sulaman disiapkan. Terasa pula seperti menggoreng pisang, masih panas sudah diambil orang. Paparan pagi ini milik kenalan adik ipar yang mahukan sulaman ringkas. Masa yang diberi juga pendek. Maka crumble ringkas disudahi dengan manik tabur penuh di hujung lengan jadi halwa mata pagi ini. Sempat juga saya rakam rekaan pada kurung moden ini sebelum ianya dipos ✿◕ ‿ ◕✿ 





Wednesday, September 28, 2011

✿*゚Bijou

Hellloooooooooooo!!! Paparan hari ini masih lagi berkisar tentang koleksi Aidilfitri 2011. Kain cotton bercorak abstrak yang berona gelap ini kasap dan memudahkan proses menyulam manik. Akrilik warna kuning yang memancar dan kuntuman flower bowl warna sama menaikkan seri kurung ini. Kristal China dan mutiara kaca warna perak, emas dan jingga menambah ceria  ✿◕ ‿ ◕✿ 







Tuesday, September 27, 2011

✿*゚Butterfly: The Series ~ Azlin Pink Glasswing

Selamat pagi!!! Saya dihimpit kesibukan beberapa hari ini. Lakaran yang dibuat untuk sulaman manik pada baju pelanggan membuatkan saya tidak sabar untuk menyulam manik. Namun, saya harus mendahulukan beberapa tempahan yang agak lama disimpan. Hampir saja tak berdebu! Untuk hari ini, saya paparkan sulaman crumble berbunga yang saya sisipkan dengan sang rerama dari akrilik dan kristal. Bosan dengan kuntuman teluki yang biasa saya sulamkan untuk baju-baju Azlin, kali ini saya sulamkan pula bunga sisik ikan warna ungu gelap berlapis labuci merah samar. Sulaman kali ini memberi sedikit kelainan pada sulaman crumble yang pernah saya hasilkan ✿◕ ‿ ◕✿




Thursday, September 22, 2011

✿*゚Pansy




Assalamulaikum semua. Kesejukan dek hujan yang turun beberapa hari ini menyebabkan saya sering saja bermalas-malasan. Selimut dan bantal di tempat tidur sepertinya menggamit saya untuk terus tidur. Namun, saya gagahkan juga diri untuk paparan hari ini. Sepasang lagi kurung moden yang dihantar pelanggan dari Kuala Lumpur. Gambar pelakon ternama yang menggayakan kurung moden warna kuning di MMS pada saya. Sulaman bunga dari kain organza sangat memikat hati sipemilik kurung moden yang mahukan rekaan serupa. Berinspirasikan kurung moden ini, saya sulamkan bunga organza dan kuntuman kuning keemasan flower bowls pada dada kurung ini.  ✿◕ ‿ ◕✿

Wednesday, September 21, 2011

✿*゚Marzurina Beryl Crumble





Assalamualaikum sayang-sayang semua, satu lagi pilihan crumble saya siarkan disini. Marzu mahukan sulaman crumble dan tali air yang menjalar. Untuk sentuhan yang berbeza, jahitan taliair saya jahit mencapah di kiri kanan lengan. Manik mutiara warna jingga, emas dan hitam diselang seli dengan akrilik hitam berkilat dan jingga menyerlahkan seri kurung Johor milik Marzu ini ✿◕ ‿ ◕✿

Tuesday, September 20, 2011

✿*゚Azlin Amber






Assalamualaikum, kalau minggu lalu saya siarkan sulaman crumble penuh kristal untuk Rabia, crumble siaran hari ini juga penuh akrilik dan kristal namun di beri sentuhan berbeza dengan kuntuman kecil flower bowls warna merah bata dan putih. Kurung Johor milik Azlin ini juga disulam highlight di bahagian badan. Kata Azlin, mahu bergaya di rumah mertua waktu menyambut Aidilfitri ✿◠‿◠

Thursday, September 15, 2011

✿*゚Rabia Jawhara

Assalamualaikum semua... Rabia Jawhara atau permata Rabia, tepat sekali menggambarkan sulaman untuk Rabia. Rabia mahukan crumble dari kristal dan manik mutiara yang pelbagai. Namun, material kurung moden yang tidak tetal dan sangat fragile mengehadkan sulaman yang lebih berat untuk kurung moden ini. Maka saya memilih akrilik dan kristal china beraneka bentuk dan rupa gandingan warna biru lembut dan merah samar yang menambah elegan pada sulaman. Mutiara putih gading pula melengkap sulaman crumble untuk  Rabia ini. Kata Rabia sewaktu melihat sulaman yang telah siap melalui MMS, ianya kelihatan biasa tetapi setelah melihat sendiri hasil sulaman saya, Rabia gembira sekali dan sangat berpuas hati! Terima kasih Rabia  ✿◠‿◠





Tuesday, September 13, 2011

✿*゚Butterfly: The Series ~ Orange Albatross





Assalamualaikum dan selamat pagi. Beberapa lakaran untuk rekaan sulaman manik bentuk rama-rama telah saya siapkan, hanya menunggu pemilik bertuah yang mahukan rekaan sebegini pada pakaian mereka. Cumanya, satu lagi siri rama-rama dari akrilik dan mutiara kaca saya paparkan di sini. . Kurung Johor milik kakak seorang kenalan saya sulamkan motif rerama dan kuntuman sisik ikan dari flower bowl sequin,  gandingan warna jingga yang menyala dan ungu gelap memberi impak mempesona. Sulaman dilengkapkan dengan deretan crumble penuh di hujung lengan dan kelihatan mewah digayakan sewaktu aidilfitri yang belum sampai kepenghujungnya ✿◠‿◠

Tuesday, September 6, 2011

✿*゚Butterfly: The Series ~ Dzuneeka Merolina

Assalamualaikum dan Salam Aidil Fitri untuk semua muslimin dan muslimat. Walaupun hari ini masuk hari ke 7  Syawal, suasana hari raya masih terasa. Halwa mata pertama di bulan Syawal tentunya istimewa, sulaman manik untuk kenalan yang jauh di Kuala Terengganu. Dalam tak sedar, rupanya, Kak Eka senior saya dalam jurusan yang sama sewaktu menuntut dahulu. Kata Kak Eka kebaya yang dihantar bukan kebaya untuk Aidil Fitri dan mahukan sulaman bunga sisik ikan dan crumble. Kala menyulam manik, terfikir pula untuk menyisipkan seekor rama-rama di setiap kuntuman sisik ikan yang ada. Kali terakhir saya menyulam manik bentuk rama-rama 4 tahun yang lalu, sayangnya tiada gambar diambil untuk saya siarkan di sini. Apa pun, nantikan siri rama-rama yang berbeza dari saya untuk koleksi lebaran kali ini... Enjoy✿◠‿◠